Proud As Lensa Crew....

Daisypath Graduation tickers
0

Sibuk Sangat Ke????

Hari yang penuh dengan agenda dan penuh dengan segala mak nenek acara.  Dari photo shoot hari jual menjual di ruang legar sekolah kepada portraiture photo shoot berakhir dengan acara penyerahan pokok buah-buahan di surau At-Taufiqiah.

Aduh....sebenarnya kalau tak disergah dek boss besar, mau lemau lagi sesi photo shoot semua pelajar SMK Taman Tuanku Jaafar yang dikatakan dah setahun diberikan arahan untuk menyelesaikannya.  Namun, dalam pada itu, ada juga hikmahnya bila mempunyai satu kumpulan yang saling bantu membantu dan yang penting cepat bertindak.

Dalam masa sehari segala agenda yang diarahkan oleh boss telah dapat diselesaikan tetapi kepenatan yang tak tergambar dek ayat-ayat ni hah!!!  Alhamdullillah, selesai satu perkara yang sebenarnya berat jugak nak dipikul walaupun kamera D90 itu tak la berat mana.  Nak mengambil gambar semua pelajar yang berjumlah 1,500 lebih sebenarnya satu tanggungjawab yang .....alamak!!!!beratnya!!!!

Namun, bak kata pepatah hati semut (ke kuman) sama dicicah, hati gajah sama dilapah maka krew lensa telah bekerja bersama-sama untuk menyelesaikan segalanya dalam sehari.  Penat .... penat dan letih tetapi nampak gayanya para krew bekerja dalam emosi yang ceria walaupun sesekali terdengar.."sakitnya kakiku", "adoi!! perut dah berbunyi"..krew sempat juga beraksi di depan kamera.  Dah namanya photografer,tak terasa loya atau mual berdiri di depan kamera.

Terima kasih buat semua krew Lensa SMKTTJ yang bertugas hari ini dan kepada guru pembimbing...terima kasih sponsor air kotak dan kek.  Jom guru pembimbing, kita ngadap boss mintak dia belanja kat Pizza Hut ke, tak pun kat Royal Bintang je, nak dekat Allson Klana pun boleh la.  Kami terima seadanya.

Terima kasih kepada semua tenaga pengajar SMK Taman Tuanku Jaafar yang memberi kerjasama kepada krew Lensa dan kepada semua pelajar yang mendengar arahan dan mempercepatkan proses photo shoot.  Terima kasih kepada para pentadbir, Encik Akashah, Encik Kalaiselvam dan paling utama Tuan Omar Ahmad...Dah siap boss..

Terima Kasih Daun Keladi.














0

Khidmat Masyarakat

Khamis, 30 Julai 2011

Bertempat di Surau At-Taufiqiah, berlangsung majlis penyerahan empat batang pokok buah-buahan kepada Jawatan kuasa Surau.  Pokok mangga dan pokok rambutan yang diserahkan kepada pihak surau bertujuan untuk menghijaukan persekitaran surau dan menyamankan udara di Taman Pinggiran Senawang.

Majlis penyerahan dilakukan oleh Puan Jarayah bt Jais selaku wakil  Pengerusi Koperasi SMK Taman Tuanku Jaafar iaitu Tuan Omar bin Ahmad sempena Minggu Koperasi Sekolah kepada Penasihat Surau, Tuan Haji Muhammad dan disaksikan oleh beberapa orang jawatan kuasa surau.  Mereka telah menanam pokok buah-buahan yang disumbang pada hari yang sama.

Lensa merakamkan peristiwa bersejarah tersebut:













0

Hari ini Hari Jual-jualan

Khamis, 30 Jun 2011

Sempena Minggu Koperasi Sekolah, telah dijalankan hari jualan di Ruang Legar SMK Taman Tuanku Jaafar.  Beberapa gerai telah dibuka termasuklah gerai burger, gerai jualan produk Avon, gerai muffin dan kek, gerai air tembikai dan tebu serta gerai aksesori Mickey Mouse.


Jualan dibuka kepada semua warga SMKTTJ bermula jam 1000 pagi hingga 0200 petang.  Sebilangan besar gerai telah diserbu oleh pelajar dan guru yang ingin mendapatkan barangan yang diingini dengan harga yang lebih murah.  Malahan ada juga gerai yang menawarkan harga runtuh semata-semata untuk melariskan jualan.


Khidmat mencuci kereta dengan bayaran RM5.00 juga dibuka untuk membolehkan guru-guru menghantar kereta mereka untuk dibersihkan oleh pelajar terbabit.


Pada hari Isnin hadapan (04 Julai 2011) akan diadakan pertandingan masak yang betemakan ikan air tawar iaitu ikan tilapia.  Setiap kumpulan diwakili oleh tiga peserta sahaja dan terhad kepada 8 kumpulan pertama mendaftar.  Pertandingan ini akan dijalankan di bilik ERT.


Krew Lensa juga sempat merakamkan detik urus niaga dilakukan di ruang legar SMKTTJ:
















0

Hidup baru Jaafarian

Memulakan satu perjalanan baru dalam hidup 8 orang pelajar SMK Taman Tuanku Jaafar.  Bergelar anak peneroka felda selama seminggu dan menghayati rona-rona dan warna-warna di SMK Jelai (Felda).  Cekuplah apa yang tidak pernah anda rasa dan kecapi sepanjang anda hidup.  Ianya akan terlalu manis untuk dilupai tetapi, terlalu perit dilalui...Tahniah pelajar Program Base Learning...




0

Perlawanan Persahabatan - Bola Sepak Perempuan SMKTTJ vs Program Pembangunan Bola Sepak Yayasan N.Sembilan

28 Jun 2011 ( Selasa )

Bertempat di Padang SK Seremban Jaya 1, telah berlangsung perlawanan persahabatan di antara pasukan Bola Sepak Remaja Perempuan SMKTTJ Bawah 16 tahun bertemu dengan pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Yayasan N. Sembilan Lelaki Bawah 12 tahun. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada jam 4.30 petang ini merupakan inisiatif barisan pengurusan dan kejurulatihan pasukan bola sepak SMKTTJ untuk memantapkan lagi barisan pemain yang akan beraksi di Sweden pada bulan Julai nanti.

Pasukan dari Program Pembangunan Bola Sepak Yayasan N.Sembilan terdiri dari 20 orang pemain bola sepak lelaki yang berusia dalam lingkungan 10 - 12 tahun yang telah disenaraikan sebagai pemain-pemain terbaik dari seluruh Negeri Sembilan. Mereka mendapat latihan daripada jurulatih dari Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan dan menggunakan padang SK Seremban Jaya 1 sebagai pusat latihan setiap petang.

Perlawanan berlangsung dengan cukup menarik di mana pasukan lawan memberikan cabaran yang sangat hebat menumbangkan pasukan SMKTTJ dengan 11 - 0. Walaupun tewas, ia tidak mematahkan semangat para pemain kerana ia dilihat dari sudut yang positif dimana berlaku banyak kelemahan dalam pasukan yang perlu diperbaiki segera sebelum bertolak ke Sweden pada 16 Julai nanti. Perlawanan seperti ini juga merupakan dilihat sebagai satu latihan yang cukup baik dan bermakna kerana bertemu dengan pasukan yang betul-betul hebat akan membantu pasukan SMKTTJ untuk lebih mantap. Pihak pengurusan dan kejurulatihan dari Persatuan Bola Sepak N.Sembilan turut berbesar hati mengalu-alukan pasukan SMKTTJ untuk hadir membuat latihan bersama serta menjalankan perlawanan persahabatan secara berkala pada masa akan datang.

Krew Lensa sempat merakam aksi-aksi sepanjang perlawanan tersebut :












Back to Top