Proud As Lensa Crew....

Daisypath Graduation tickers
0

Bandung With Love (Part 1)

05 April 2012 (Khamis)

Tepat jam 0200 petang, satu taklimat ringkas telah diberikan kepada ibu bapa dan pelajar Think quest yang bakal mengikuti rombongan sambil belajar ke Bandung selama 5 hari mulai 07 April 2012.

Taklimat tersebut telah diberikan oleh Cik Khalila binti Kudri selaku pengurus peserta rombongan dan dibantu oleh Puan Sabariah Seman (Guru Lensa SMKTTJ), Puan Rohayu Mustafa (Guru Badar dan Activeboard), dan Cik Norsilawati Aris (Guru ICT).  Taklimat diteruskan oleh ketua rombongan iaitu Tuan Pengetua, Tuan Omar bin Ahmad.









07 April 2012 (Sabtu)

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba.  Tepat jam 0600 petang, perkarangan surau SMK Taman Tuanku Jaafar mula dihuni oleh para peserta Think Quest yang bakal berlepas ke Bandung jam 1145 malam.

Pelbagai rupa bentuk bagasi yang dijenjeng dan diseret oleh para peserta.  Sekurang-kurangnya sebuah bagasi dan bag sandang dibawa oleh setiap pelajar dan guru.  Semua bagasi diatur untuk digantung tanda nama dan riben sama warna bagi memudahkan urusan pengumpulan bagasi di lapangan terbang nanti.

Azan Maghrib telah berkumandang dan semua peserta menunaikan solat Maghrib berjamaah di surau SMKTTJ.  Hampir jam 0800 malam, bas yang membawa peserta ke LCCT bergerak menuju destinasi.

Sebaik sampai di LCCT, urusan memunggah bagasi dan 'check in' dilakukan.  Satu persatu bagasi ditimbang, pasport disemak dan beg galas diperiksa sebelum kami memasuki ruang menunggu untuk meneruskan perjalanan ke Bandung.












08 April 2012 (Ahad)

Tepat jam 0130 pagi waktu Malaysia bersamaan jam 1230 tengah malam waktu Indonesia, rombongan kami tiba di Lapangan Terbang Bandara Hussein Sastranegara Bandung menggunakan penerbangan QZ 7596 Air Asia Indonesia.

Kesesakan berlaku di kaunter pemeriksaan imigresen kerana kawalan keselamatan yang agak terperinci dijalankan.  Selepas pasport diperiksa, 4 jari tangan kanan perlu di'scan' untuk kepastian identiti dan gambar diambil menggunakan kamera kecil.  Hampir 30 minit melalui pemeriksaan imigresen Bandung dan tidak sampai 10 minit pemeriksaan imigresen Malaysia.

Kami disambut oleh Ibu Heli dan anak perempuannya yang manis tersenyum walau baju dibasahi dek air hujan dan sejuk menggigit tulang.  Kami dibawa oleh bas Pariwisata menuju ke Jalan Dago untuk menikmati jagung bakar.

Buat pertama kalinya kami makan jagung bakar sewaktu saudara mara di Malaysia sedang lena dibuai mimpi.  Kami dihidangkan dengan jagung bakar, pisang bakar dan roti bakar yang kesemuanya ditutupi oleh keju parut.  Wah...terasa macam orang kaya kerana keju begitu mahal harganya di Malaysia, dan seketul keju hanya RM10.00 di Bandung.

Kami juga begitu tertarik dengan keletah anak-anak kecil yang masih mengemis pada waktu dini hari dan terfikir juga dibenak akal, mana ibu bapa dan rumah mereka?  Malah menjadi tradisi masyarakat Bandung, setiap orang pandai menyanyi dan bermain gitar kerana kami sempat dihiburkan oleh tiga jejaka segak yang menyanyikan beberapa buah lagu sewaktu kami makan dan minum di Dago.  Apa lagi, dalam kesejukan yang menggigit kulit, kami turut menyanyikan lagu yang sama bagi menghangatkan suasana.

Hampir jam 0200 pagi waktu Indonesia, kami dibawa ke Jalan Cihampelas untuk menginap di Hotel Samudra.  Baru mata terpejam, kami dikejutkan oleh loceng telefon bimbit supaya bangun untuk solat Subuh tepat jam 0430 pagi (0530 pagi Malaysia).  









0 comments:

Post a Comment

Back to Top