Proud As Lensa Crew....

Daisypath Graduation tickers
0

Riwayat Saigon City (Part 2)

26 Oktober 2011 (Rabu)

Seawal jam 0500 pagi (0600 pagi waktu Malaysia), matahari telah mula menunjukkan cahayanya.  Waktu subuh di HCMC ialah jam 0430 pagi dan bermulalah bunyi-bunyian pelbagai hon kenderaan sama ada kereta mahupun motosikal di atas jalan raya.  Di sini, jarang kita akan berjumpa dengan kenderaan berat seperti lori dan nisbah kereta dengan motosikal ialal 1:100 (bayangkan betapa banyaknya motosikal) dan dengan hampir 10 juta penduduk HCMC.  

Maka tidak hairanlah jika anda melangkah ke Saigon, di mana-mana sahaja kaki lima jalan akan dipenuhi manusia yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk dijadikan tempat tinggal.  Mereka yang memiliki rumah adalah golongan yang kaya raya sahaja.  Itu pun, rumah yang diduduki sebenarnya adalah milik kerajaan. Inilah sistem kerajaan kapitalis yang mengamalkan ideologi komunis.

Kami memulakan hari baru di Saigon dengan bersarapan di tingkat 7 Kim Huong Hotel (voucer sarapan pagi).  Kami hanya mengambil roti yang dibekalkan dengan butter dan jem strawbery untuk mengelakkan termakan hasil ternakan babi.  Untuk memenuhi perut, pagi-pagi lagi kami merebus mee maggie cup yang diusung dari Malaysia dan pelbagai jenis biskut.
Pagi di Ben Thanh....














Tepat jam 0700 pagi, kami mengambil Vinasun Taxi ke The Sinh Tourist yang popular dengan panggilan Sinh Cafe yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari hotel.  Menteri Kewangan kami, Puan Yusrina membeli tiket ke Cu Chi Tunnel.  Dalam 20 minit kemudian, bas yang akan membawa kami ke Chu Chi Tunnel sampai dan kami meneruskan perjalanan bersama pelancong dari Korea Selatan, Ireland serta Amerika Latin.

Melihat susun atur bangunan yang berselerak dengan talian arus elektrik yang bagai menunggu mangsa membuatkan kami berdiri bulu roma kerana terasa nyawa boleh melayang bila-bila masa sahaja.  Tiada bangunan pencakar langit tetapi hampir kesemua bangunannya berbentuk kotak dibumbungi dengan zink yang mula berkarat mengikut usia.
Sinh Tourist....








Cu Chi Tunnel yang terletak dalam wilayah Cu Chi mengambil masa 2 jam perjalanan ke selatan HCMC.  Ianya merupakan kawasan operasi kumpulan yang menggelarkan diri mereka dengan "Viet Cong" yang bertindak berperang dengan Amerika Syarikat dalam 'Perang Vietnam' tahun 1968.    Viet Cong adalah kumpulan gerilla bawah tanah yang membina terowong sepanjang 75 batu (120 km) yang boleh memuatkan beribu gerilla dan penduduk untuk berlindung dari tentera Amerika.

Masih terdapat lekukan-lekukan kesan jatuhan bom oleh tentera Amerika B-52 yang menjatuhkan 30 tan bom dibantu oleh tentera Australia namun tidak berjaya menghapuskan tentera gerilla yang bersembunyi sedalam 3 hingga 7 kaki ke dalam tanah.

Pengembaraan di sekitar Cu Chi Tunnel yang masih kekal seperti dahulu dengan sesetengah tempat masih mempunyai jerangkap samar telah memberi seribu gambaran buat generasi sekarang yang tidak terlibat dengan perang dan betapa senang hidup tanpa perang.  Pengalaman menjadi gerilla Viet Cong oleh beberapa orang antara kami membuatkan hidup lebih dihargai kerana kita tidak pernah merasai kesempitan untuk meneuskan kehidupan.


Setelah sampai ke penghujung perjalanan, kami berehat seketika sambil menikmati ubi kayu rebus bersama air.  Berlaku sedikit kesilapan komunikasi antara kumpulan kami dan Kerry.  Salah seorang dari kami bertanya Kerry air apa yang dihidangkan itu.  Dengan penuh yakin Kerry menjawab pineapple (mengikut pendengaran kami)...lalu kami meminum air yang dihidangkan tetapi tidak pulak terasa macam rasa nenas tetapi rasa dan berbau pandan.  Dengan muka tidak puas kami bertanya semula Kerry air apa yang dihidangkan itu.  Lantas Kerry menyebut "pinpal" (atau lebih kurang begitu bunyinya) sambil menunjukkan tangannya ke pokok pandan yang tergantung.  Dengan serentak kami ketawa dan menjawab...oooooooooo air daun pandan....Maka, jadilah kami perhatian ramai pelancong negara-negara lain di bumi Vietnam.






























Tepat jam 0100 petang, kumpulan kami berangkat pulang ke HCMC bersama pemandu pelancong Encik Kerry (dieja...K.E.A.A.Y)* Orang Vietnam tidak boleh menyebut 'R' dan 'S' seperti "SISTER"...akan disebut sitte'....


Dalam perjalanan pulang ke HCMC, dengan rasa bosan yang teramat salah seorang dari kami cuba mengajak pemandu bas berborak.  Memang terbukti masalah utama antara kami ialah komunikasi.  Kami bertanya dalam bahasa inggeris dan dijawab dalam bahasa Vietnam.  Lain yang kami tanya, lain yang dijawab.  Kadang-kadang terasa kesian kerana untuk menjawab soalan kami segala aksi dilakukan termasuklah menggaru kepala dan mengangkat kedua-dua tangan semasa memandu tetapi tetap tiada suara.  Paling tidak pun, mereka akan tersengih walaupun soalan kami tidak kelakar sebenarnya.  Setelah penat melayan kami bercakap (sebenarnya masing-masing bercakap sendiri)...kami dipelawa memandu bas pelancong.  Oh!!!tidak sama sekali kerana pemandunya berada di sebelah kiri.

Setibanya kami di Sinh Cafe, makanan tempahan kami dibawa oleh puan Hazel dan kami makan tengah hari tepat jam 0300 petang menumpang sebuah restoran sebelah Sinh Cafe.  Kami hanya minum air tembikai bagi menghormati pemilik restoran yang sudi memberi ruang untuk kami makan.  Salah seorang antara kami hampir termuntah semua makanan yang dimakan apabila melihat pemilik restoran dengan khusyuk memakan daging babi.  Di tambah pula, dia terbuka menu restoran yang rata-rata menunya berasaskan daging babi.  Kembang tekak mengingatkan meja yang telah digunakan masih ada kesan masakan babi.  Itulah pengalaman kami, apabila berhijrah ke negara yang mempunyai golongan minoritinya Islam. 

Pengembaraan diteruskan dengan City Tour oleh pemandu pelancong yang baru. Kami dibawa ke Dinh Doc Lap - Independence Palace yang terletak di Ly Tu Trong tidak jauh dari pasar Bin Thanh.  Bangunan yang dibina era pemerintahan Perancis berasaskan idea Mr Ngo Viet Thu dan menjadi istana buat pemerintahnya iaitu Ngô Đình Diệm mulai 27 Februari 1962.  Istana ini juga dikenali sebagai istana Norodom dan kini dipanggil Independence Palace(Hội trường Thống Nhất).  Istana ini juga pernah menjadi tempat pentadbiran tentera jepun tahun 1945.

Tidak rugi melihat seni bina masyarakat Vietnam yang membina beberapa pintu rahsia untuk membolehkan pemerintahnya melarikan diri.  Malahan, terdapat satu jalan yang menghubungkan kawasan istana ke lapangan terbang Ho Chi Minh (Tan Son Nhat International Airport) yang terletak kira-kira 7 km yang membolehkan presidennya melarikan diri apabila diserang.

Kemudian, perjalanan diteruskan ke Central Post Office yang mempunyai ukiran gothic dari Perancis.Ianya adalah hasil senibina oleh Gustave Eiffel yang menjadi lokasi tumpuan pelancong yang rata-rata akan masuk ke bangunan pejabat pos dan membeli poskad untuk dihantar kepada mereka yang disayangi.  Kumpulan kami juga telah membeli pelbagai pemandangan yang ada pada poskad dan menghantarnya kepada mereka yang ditinggalkan di Malaysia bersetemkan sebanyak 10,800 Dong.  Poskad dijangka sampai dalam masa 1 hingga 2 minggu.

Dari Central Post Office, kumpulan kami tidak meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya kerana jam 0500 akan tiba waktu Maghrib.  Oleh kerana tidak mempunyai peta mahupun GPS, kami menaiki teksi Vinasun ke tempat penginapan yang sebenarnya hanya memakan masa selama 7 minit sahaja jika berjalan kaki.  Apa nak buat....kita duduk di negara orang.  Lagi pun, kalau sesat agak sukar untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan yang tidak tahu berbahasa Inggeris.

Selepas solat Maghrib, kami mula meneroka pasar Ben Thanh yang akan ditutup pada jam 0700 petang.  Pasar ini merupakan syurga kepada pembeli kain, baju serta barangan kraftangan.  Beberapa orang dari kami juga sempat membeli jam tangan jenama Omega.  Malah kami juga berkampung di lot kedai yang menjual kain kapas untuk baju kurung.  Masing-masing membeli paling kurang 4 pasang kain untuk diisi ke dalam bagasi.  Sepasang bernilai 10 USD (RM30.00).  Apa yang perlu diingat oleh para pelancong ketika berada dalam pasar Ben Thanh ialah jangan sesekali menyentuh apa sahaja barangan yang dijual (pada penjual apabila kita memegangnya kita mesti membelinya).  Kalau kita mengatakan tidak atau "No", mereka akan memaki hamun dan memarahi para pelancong.

Setelah pasar Ben Thanh bergelap, kami meneruskan penjelajahan untuk kali kedua di pasar malam sekitar Ben Thanh (Pho Mua Sam Night Market).  Harga yang ditawarkan oleh peniaga akan naik berkali ganda serta adegan tawar menawar diteruskan dan tidak kurang juga ada sesetengah pelancong dimarahi oleh peniaga termasuklah kami.  Katanya 'kalau tidak mempunyai 100,000 Dong, jangan cuba tawar menawar'.  Kadang-kadang terjadi juga penjual mengejar kami yang tidak berminat dengan barangan mereka dengan menawarkan harga murah.  Jangan juga terkejut bila kita dipegang dengan kuat oleh peniaga yang seakan-akan memaksa kita membeli hasil jualan mereka.  Ini kerana, penduduk Vietnam bergantung sepenuhnya kepada para pelancong untuk mata pencarian mereka disebabkan sebahagian besar penduduk adalah golongan miskin dan tidak mempunyai rumah.  Malah, mereka akan lebih gembira bila kita membeli dengan duit malaysia Ringgit atau USD kerana bila ditukar kepada Dong....mereka akan jadi kaya raya.

Setiap penjuru dan sudut jalan atau di mana sahaja ruang kosong kita dapat melihat berlakunya urusniaga seakan-akan mencetak budaya dan tradisi yang ada di negara Perancis.  kanak-kanak juga dieksploitasi sepenuhnya di Saigon.  Seawal usia setahun, mereka digunakan untuk menarik perhatian pelancong untuk membeli barangan yang dijual.  Malahan, kanak-kanak ini akan terus menjual barangan bermula jam 0800 pagi hingga ke tengah malam. 


Perjalanan kami agak perlahan kerana masing-masing mula mengumpul tenaga untuk mengusung barangan yang semakin sarat.  Kami juga sempat membeli buah-buahan segar untuk dimakan sebelum beradu.  Jangan lupa, apabila anda melintas jalan di Bandar Saigon....lintaslah dengan yakin tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan kerana prinsip pemandunya ialah pemandu di belakang mesti mengawasi objek di hadapan (mereka akan mengelak pejalan kaki yang melintas di hadapan mereka).  Bagaimana dengan pemandu kita??????


Berada di Saigon City, mata hanya akan minta untuk berehat setelah jam menunjukkan ke angka 1 (jam 0200 pagi di Malaysia).  Kami juga mula terfikir kenapa negara yang begitu lama diduduki oleh penjajah seperti Amerika, Perancis dan Jepun tidak sedikit pun pandai dan fasih menuturkan bahasa penjajahnya????.......bersambung.

0 comments:

Post a Comment

Back to Top