Proud As Lensa Crew....

Daisypath Graduation tickers
0

Riwayat Saigon City (Part 4)

27 Oktober 2011 (Khamis)

Masih lagi meneruskan ceritera hari ke-3 kami di bumi Saigon ini.  Setelah penat menjelajah Delta Mekong, kami pulang ke HCMC dengan tenaga yang semakin susut.  Pemandu pelancong kami, Pink sempat menunjukkan sebuah masjid yang satu-satunya ada di bumi Delta Mekong.  Masjid ini berusia 81 tahun yangdigunakan oleh masyarakat muslim terutamanya muslim Champa yang bermastautin di sini.  Kami sempat bertanya kepada penjaga masjid berapa ramai masyarakat Islam di Delta Mekong.  Mereka memberitahu hanya ada lebih kurang 80 orang.  Di hadapan masjid, kami melihat sekumpulan wanita tua sedang melakukan urusniaga iaitu menjual makanan bersama rebusan daging babi.  Malah kami juga terpegun kerana pertama kali melihat kucing dirantai sama seperti anjing.

Dalam perjalanan pulang ke Saigon City semua penumpang tidur dengan nyenyak untuk menambah tenaga yang telah hilang di Sungai Mekong.  Walaupun begitu, ada juga antara kami yang memaksa mata untuk melihat pemandangan luar biasa yang ada di kiri dan kanan Delta mekong.  Apa yang dapat disimpulkan ialah budaya yang wujud di Vietnam sama ada di bandar mahupun kampung sama sahaja dan tiada perbezaan.  Kalau di bandar, urus niaga dijalankan di bahu jalan, di luar bandar budaya sama berlaku.

Mata mula melihat sesuatu yang pelik di Delta Saigon iaitu ada sesuatu di tengah-tengah sawah padi nan menghijau.  Setiap sawah padi mempunyai benda yang sama iaitu perkuburan.  Masing-masing mempunyai perkuburan di dalam petak sawah mereka.  Tidak dapat diketahui kenapa.  Mungkin sebagai semangat kepada padi yang ditanam atau penjaga petak sawah.

Struktur rumah yang dibina juga agak berbeza dengan rumah yang ada di Malaysia.  Rumahnya dibina seperti kotak dan kadang-kadang tanpa tingkap.  Jangan terkejut, rumah masyarakat vietnam tidak ada bilik.  Mereka juga jarang memiliki perkakasan elektrik dan ramai dalam kalangan mereka sebenarnya tidak berumah dan mereka juga jarang mandi.  Mengikut cakap kawan kami yang menetap di Vietnam, mereka memiliki tuala sebesar sapu tangan kita sahaja yang digunakan untuk mengelap tubuh.  Ada lagi, kalau anda melawat bumi Vietnam, jangan pengsan bila melihat masyarakatnya membuang sisa di mana sahaja lelaki mahupun perempuan.  Ha..Ha....!!!! kami dah melihat sendiri apa yang diperkatakan tersebut.

Satu lagi perkara menarik tentang warga Vietnam ialah ketika memandu di jalan raya.  Bagi pemandu Malaysia, cermin sisi (kiri dan kanan) serta cermin belakang adalah nadi dalam sistem pemanduan di jalan raya.  Berbeza dengan pemandu di saigon, hon kenderaan merupakan unsur terpenting semasa memandu.  Sekiranya sesebuah kenderaan tidak mempunyai hon, maka kenderaan tersebut sukar untuk bergerak di atas jalan.

Apabila mereka memandu, jarang untuk pemandu melihat cermin sisi atau cermin belakang tetapi sentiasa mengawasi objek yang ada di hadapan dan serta merta mereka akan membunyikan hon untuk memberi isyarat kepada pemandu di hadapan supaya bergerak ke arah kanan bagi membolehkan mereka memotong.  Sekali hon dibunyikan menandakan bahawa kenderaan belakang akan memotong di lorong kiri dan secepat mungkin pemandu di hadapan beralih ke lorong kanan.

Begitu juga apabila kita ingin melintas jalan raya yang sibuk di pusat bandar Saigon.  Seperti kata pemandu pelancong kami, anda boleh pejam mata dan lintas.  Kita tidak perlu mengangkat tangan memberi isyarat supaya mereka berhenti, tetapi buat pemandu sekiranya mereka memandu kenderaan 4 roda, secara serta merta akan berhenti memberi laluan kepada pelintas jalan dan bagi pemandu motosikal mereka akan mengelakkan segera dari bertembung dengan pejalan kaki.  Di bumi Saigon, tiada istilah 'Rempit' walaupun jumlah kenderaan melebihi penduduknya.

Sampai juga kami ke tempat makan tengah hari kami iaitu kedai makanan muslim Champa di tengah-tengah lorong sempit di ibu kota Saigon.  Sedapnya makanan masuk ke perut yang telah bernyanyi-nyanyi sekian lama.  Kemudian kami pulang ke hotel untuk berehat kerana banyak kehilangan tenaga sewaktu di Delta Mekong.

Tepat jam 0730 malam, kami berangkat ke kawasan perumahan kedutaan yang agak jauh dari kesibukan kota.  Perjalanan 10 minit meredah kegelapan yang dihiasi kilauan lampu menampakkan keindahan wilayah Saigon walaupun pada hakikatnya apabila waktu siang, keadaannya jauh berbeza.

Kami tiba di rumah Puan Ody (Hasniza Hashim) dan Encik Helmi untuk makan malam bersama guru dan pelajar dari SBT Jalan 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.  Enaknya makanan dan kami makan sepuas-puasnya tanpa menoleh kepada tetamu yang ada.  Selepas makan malam dan bercerita tentang pengalaman di Saigon serta kehidupan di Malaysia khasnya di SMKTTJ, kami beransur pulang untuk menyambung kehidupan malam di Pasar Malam Ben Thanh.

0 comments:

Post a Comment

Back to Top