Proud As Lensa Crew....

Daisypath Graduation tickers
0

Riwayat Saigon City (Part 3)

27 Oktober 2011 (Khamis)


Penat ke Cu Chi Tunnel dan City Tour belum pun pulih dan seawal jam 0500 pagi kami telah bersiap untuk meneruskan pengembaraan hari terakhir di bumi Saigon.  Perjalanan hari ini diiringi dengan pemandu pelancong berbangsa Melayu Champa iaitu Puan Zaidah.  Walaupun tambang dan lokasi perjalanan yang dijanjikan bernilai RM100.00, kami tetap membayarnya kerana terasa rugi setelah berkunjung ke bumi Ho Chi Minh tetapi tidak melihat sungai yang terpanjang di Asia Tenggara dan nadi Saigon iaitu Sungai Mekong.


Tepat jam 0800 pagi van yang memuatkan 12 penumpang tiba di perkarangan hotel.  Salah seorang dari kami, Puan Fadzilla tidak mengikuti perjalanan ke Mekong kerana kepenatan disebabkan tidak mendapat rehat yang cukup setelah menyambung perjalanan sekembali dari Pulau Tioman pada hari Isnin.


Perjalanan awal pagi mula tersekat-sekat kerana begitu banyak kenderaan terutama motosikal di atas jalan raya.   Akhirnya kami dibawa keluar dari hiruk pikuk bandar ke lebuh raya yang baru siap dibina menuju ke utara HCMC.  Masa perjalanan dijangkakan selama 3 jam dan di tengah-tengah perjalanan kami singgah di salah satu bangunan yang digunakan oleh orang kelainan upaya untuk menghasilkan barangan kraf.  Wow!!!!terpukau dengan hasil kraf mereka yang dibuat dengan menggunakan kulit telur.  Tetapi bau hanyir telur dan habuk yang terlalu banyak di dalam bangunan membuatkan kami terasa kurang selesa.







Hampir 30 minit meninjau hasil kraf orang kelainan upaya, perjalanan diteruskan menuju destinasi yang akan memakan masa 3 jam.  Sepanjang perjalanan, kiri dan kanan menghidangkan suatu fenomena yang berbeza dari Bandar Saigon yang penuh dengan asap, debu dan bangunan yang menanti masa untuk rebah.  Kehijauan sawah padi yang merupakan nadi utama pendapatan ekonomi masyarakat Vietnam dan disaliri oleh Sungai Mekong( "đồng bằng sông Cửu Long") atau dipanggil Sungai 9 Naga merangkumi 39,000km persegi dari keluasan negara Vietnam.  Perjalanan Sungai Mekong agak jauh kerana ianya bermula di perbanjaran Tibet menuju ke Laut China Selatan dan merentas beberapa buah negara seperti China, Myanmar, Thailand, Laos, Cambodia dan Vietnam.


Kami akan menuju ke jeti My Tho iaitu bandar bagi daerah Tien Giang yang terletak kira-kira 70km dari Saigon City.  Dari jeti My Tho kami dipandukan oleh seorang pemandu pelancong yang cantik memakai Ao Dai(pakaian tradisonal Vietnam) iaitu Pink.  Beliau agak fasih berbahasa Inggeris dan peramah serta bersedia menjawab segala macam soalan kami. Sebelum memulakan perjalanan dengan Cai Be Princess Sampan iaitu sampan tradisional masyarakat VietnameseHoa,Khmer, dan Tày.  




Sepanjang perjalanan menuju ke Unicorn Islet menghidangkan segala aktiviti atas air yang jarang dapat dilihat di Malaysia terutamanya di Semenanjung.  Rumah air, sangkar ikan, tempat membaiki bot dan segala macam perkara boleh dilakukan terutama berasaskan sampan dan bot.  15 minit masa perjalanan juga kami melihat pokok keladi bunting yang banyak terapung menutup permukaan Delta Mekong yang berwarna keemasan.  Selalunya, pokok keladi bunting ditanam oleh masyarakat Cina untuk menjadi makanan kepada ternakan babi.


Kami juga dapat melihat jambatan Rach Mieu yang menghubungkan Pulau Phoenix dengan tanah besar Tien Giang. Pembinaannya bermula tahun 2002 dan digunakan sepenuhnya tahun 2008.


Ketibaan kami disambut oleh beberapa orang penduduk yang agak mesra sambil menjual barangan kraf tangan yang semata-mata diperbuat daripada hasil kelapa dan nipah.  Kami sempat melihat proses penghasilan coklat kelapa dan seterusnya kami dibawa untuk minum selamat datang di sebuah pondok yang dikelilingi oleh lebah yang menghisap madu pokok longan.  Bee Polant di campur dengan madu dan limau kasturi serta teh hijau merupakan amalan seharian masayarakat Delta Mekong (sebab itu, sepanjang kami berada di Saigon...tak terjumpa seorang pun wanitanya yang agak gemuk - sebaliknya...kami terserempak muka sama macam kami yang gemuk)


Selepas menikmati teh madu kami berpindah ke pondok yang berikutnya untuk menikmati buah-buahan segar sambil dialun dengan lagu tradisional Tai Tu masyarakat Delta Mekong.  Apa yang dihidang, habis kami sebat.  Kemudian, perjalanan diteruskan menuju ke terusan melalui ladang longan.  Apabila kita menggunakan jalan ini tidak ada istilah patah balik sebab di sekeliling batas yang kami pijak dipenuhi air.  Jadi mahu atau tidak, perjalanan mesti terus ke hadapan.  Kehidupan masyarakat di pulau ini memang terasa tradisionalnya, apatah lagi mereka masih mengekalkan cara berpakaian Ao Dai.  Disebabkan oleh persekitaran pulau yang sentiasa lembap dan basah, mana-mana pulau di Delta Mekong dipenuhi dengan ular sawa Burma dan buaya serta biawak yang besar-besar.  Jadi tidak hairanlah makanan utama mereka selain babi ialah ular dan biawak.














Kami menaiki sampan tradisional sepanjang terusan menuju bot yang menunggu di Sungai Mekong.  Hati-hati dengan tangan anda, jangan sesekali memegang sisi sampan dan pastikan tangan diletakkan di dalam bot kerana sepanjang perjalanan bot sering berlanggar sesama sendiri dari arah berlainan disebabkan oleh terusannya yang muat-muat dua sampan.  Banyak pokok nipah tumbuh di sepanjang tebing terusan dan menjadi punca pencarian masyarakat di sini.


Kami cuba mendayung sampan sambil duduk dan terasa urat saraf menegang walaupun sebenarnya dayungan kami tidaklah sekuat mana pun.  Bayangkan bila anda mendaynng seharian pergi dan balik...apatah lagi si pendayungnya adalah seorang perempuan warga emas (apa rahsia ye????~ mungkin darah ular yang diminum memberi tenaga kepada mereka)








Perjalanan diteruskan dengan bot menuju ke pulau yang menghasilkan coklat kelapa.  Di sini kami melihat sebuah bangsal yang memproses coklat kelapa.  Apa lagi, agak banyak juga kami memborong coklat di pulau ini.  Wah!!!!terpegun seketika melihat beberapa botol leper yang disalut plastik kuning.  Puas jugak kami merenung dan meninjau.....ooooooo.....sang ular tedung dan kala jengking yang diawet dengan arak tradisional Vietnam.  La!!!lagi besar...satu botol besar yang boleh mengisi hampir 20 ekor ular yang telah diawet sedia untuk dijual dan selalunya untuk menguatkan tenaga batin orang lelaki.  


Malah, beg tangan, kasut, dan beberapa jenis perhiasan lain dari kulit ular sawa juga dijual serendah RM100.00.  Terdapat juga barangan yang dihasilkan dari kulit buaya.  Jadi, masyarakat Delta Mekong ini sebenarnya bijak menggunakan segala bahan mentah yang ada dan mereka tidak membuangnya begitu sahaja.  Ikan juga menjadi sumber pendapatan utama di sini.  Antara ikan yang popular ialah Ikan Telinga Gajah, Ikan Talapia dan Ikan Sepat.


Perjalanan menyusur pulau kecil ini diteruskan dengan merentas jambatan gantung.  aduhai..berderau darah apabila tiba di pertengahan jambatan dan melihat ke bawah, di dapati kayunya agak lusuh dan seakan rapuh...apatah lagi kami digoncang oleh Makcik Kiah yang telah sampai di hujung jambatan.  Kereta kuda sedang menanti ketibaan kami dengan sabar.  Terdetik juga di dalam hati, alahai, kesiannya kuda ini diperalatkan semata-mata untuk manusia mengisi perutnya.  Kuda-kuda di sini agak kecil berbanding kuda yang digunakan untuk perlumbaan dan kurus sama seperti tuannya.  Matanya ditutup untuk mengawal pergerakannya yang sentiasa diluar jangkaan.  









Bila menaiki jambatan, kuda ini dengan sendirinya akan berjalan dan dipimpin oleh tuannya.  Bila melepasi jambatan, secara automatik ia akan berlari dan sampailah kami ke penghujung perjalanan di perkampungan Quoi An.  Bot meneruskan perjalanan ke pulau yang menempatkan pagoda yang dijumpai oleh Nguyen Thanh Nam atau Coconut Monk (di Phoenix island @ Cồn Phụng).  Masyarakat di sini tidak memakan benda lain selain makanan berasaskan kelapa.





Menyusur sepanjang pulau melihat kawasan peliharaan buaya yang menjadi sumber pendapatan di Delta Mekong.  Buaya-buaya disini diberi makan daging babi yang senang untuk diperolehi.  Kebanyakan jambatan yang dibina di pulau juga berasaskan buluh.  Akhirnya, berakhirlah pengembaraan kami di sekitar pulau kecil di Delta Mekong.  Sebenarnya terdapat beratus pulau lain sepanjang sungai Mekong dan jangan terkejut, kalau anda sampai ke salah sebuah pulau yang mana masyarakatnya hanya menternak babi, memakan siput babi dan anjing.

Walaupun masyarakat Vietnam berketurunan Cina, tetapi di sekitar bandar dan walau di mana sahaja kita pergi, agak sukar untuk melihat kelibat anjing liar dan kucing liar di jalanan melainkan bagi sesetengah mereka yang berada, mereka akan memelihara anjing kecil seperti Chihuahua (siap baju dan sarung kaki).  Kenapa tidak ada anjing dan kucing....oh! orang Vietnam sebenarnya suka makan daging anjing dan kucing terutama di daerah Hanoi.


Huh!!!! panjangnya cerita....sebenarnya banyak lagi tempat menarik di Vietnam untuk dilawati tetapi memandangkan masa yang agak singkat, perjalanan kami berakhir di Delta Mekong.  Kawasan yang masih boleh dilawati ialah Can Tho (pasar terapung yang menjual buah-buahan dan sayur-sayuran), Dalat (kawasan peranginan sederhana sejuk), Phan Thiet (kawasan peranginan tanah tinggi), Mui Ne Beach, Bau Trang (White Sand Dunes), dan lain-lain kawasan yang menarik..Lihatlah kawasan menarik melalui link ini:
...........Bersambung

0 comments:

Post a Comment

Back to Top