Proud As Lensa Crew....

Daisypath Graduation tickers
0

Riwayat Saigon City (Finale)

28 Oktober 2011 (Jumaat)


Tak sangka, hari ini hari terakhir kami di bumi Saigon.  Entah bila kami akan berkunjung lagi ke bumi yang jauh berbeza budayanya dengan rakyat Malaysia.  Terasa sedih pula untuk meninggalkan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis pakaian dan barangan kraftangan kerana bagasi kami sudah muntah.  setiap masa kami akan menimbang berat bagasi supaya ia tidak obesiti kerana lebih berat akan dikenakan caj yang berganda oleh pihak penerbangan Air Asia.


Tepat jam 0800 pagi, kami keluar lagi buat kali terakhir sebelum mengucapkan selamat tinggal buat negara jajahan Perancis ini.  Separuh dari kami menuju ke pusat bandar mencari kedai Hard Rock Cafe dan sebahagian lagi menuju ke Saigon Square 2.  Setibanya kami di pintu Hard Rock Cafe, pengawal keselamatan memberitahu bahawa pintu kedai akan dibuka jam 0930 pagi.  Apalagi, kami mula menjadi model tidak berbayar di hadapan kedai sambil disaksikan oleh beberapanya orang pekerja yang sesekali tersengih melihat gelagat remaja tua ini.


Mungkin kesian dengan kami, pemilik kedai telah mempelawa kami masuk ke dalam kedai seawal jam 0900 pagi.  Beberapa orang dari kami mula rambang mata dan membeli apa sahaja yang dikehendaki kerana harganya lebih murah berbanding HRC di Malaysia.


Setelah mengempiskan dompet di HRC, kami mengatur langkah menuju ke Diamond Plaza (Vietnam ~ Lemon plaja) dan masuk ke dalam pusat membeli belah yang paling mahal di Saigon.  Hanya golongan berada sahaja yang mampu berbelanja di sini.  Kehadiran kami menjadi tumpuan pengawal keselamatannya kerana mata masing-masing tidak lekang memerhati gelagat kami sewaktu di dalam premis mereka.  Selesai membeli sehelai baju, kami keluar menuju ke arah Pejabat Pos dan nampak riak wajah lega pengawal keselamatan.  Ha..ha...ha....agaknya kami ni pemberontak kot????Apatah lagi...suara kami yang agak kuat walau di mana kami berada.


Berjalan kaki dan melintas jalan di bandar Saigon adalah pengalaman indah yang tidak mungkin kami padamkan dari memori.  Sempat juga kami merakamkan gambar sepasang pengantin yang sedang bergambar di hari persandingannya.Setibanya kami di hadapan bangunan Notre Dame Cathedral (gereja), kami terlihat sekumpulan kanak-kanak berpakaian seragam biru sedang bermain di bahu jalan di hadapan sekolahnya.  Lantas, kami menuju ke arah kanak-kanak tersebut dan mengajak mereka bergambar.  Nampak keriangan di wajah kanak-kanak ini bila kami sudi bergambar dengan mereka.  Rasa kesian menyelinap ke seluruh perasaan kami kerana di bumi Malaysia, tidak mungkin kita akan berjumpa pelajar sekolah menjalani latihan jasmani di bahu jalan kerana ketiadaan padang.  Di Vietnam, guru dipanggil giáo viên.  Terima kasih ~ cảm ơn bạn, selamat datang ~ chào mừng, tandas ~WC@nhà vệ sinh, minum ~ uống, makan ~ ăn, malam ~ đêm dan siang ~ ngày.


Langkah diatur menuju ke bangunan yang tertulis perkataan PARKSON.  Setelah sampai  di hadapan bangunan tersebut kami terpaksa berhadapan dengan sebuah lagi pusat membeli belah iaitu Vincam.  Apa lagi, kami meredah masuk ke dalam premis dan berlegar-legar tanpa tujuan kerana kami tidak berjumpa dengan sesiapa selain pekerjanya sahaja.  Terlihat perkataan JIMMY CHOO....ayuh.....kita serbu ke kedai Jimmy Choo macam orang kaya-kaya.  Sempat membelek barang satu dua kasut hasil anak Malaysia itu dan akhirnya kami keluar dan sempat memberitahu pekerjanya....'we are from Malaysia and Jimmy Choo also from our country'.  Pekerja itu tersenyum...tidak pasti senyum faham atau sebaliknya.


Akhirnya, sampai juga ke bangunan Saigon square yang tertera perkataan Parkson.  Dari satu tingkat ke satu tingkat kami jelajah dan sampai di tingkat 4 (ruangan barangan dan perhiasan dapur)...di sebelahnya terdapat kedai makan.  Salah seorang dari kami dengan rasa berkobar-kobar untuk membeli serviette tissue dari Vietnam terus pergi bertanya kepada salah seorang jurujualnya, manakala yang lain pergi ke kedai makan untuk membeli air.  


Tanpa berlengah, kawan kami mengeluarkan sehelai kertas tisu dari poketnya dan bertanya kepada jurujual tersebut; "miss, may i know if you have the tissue like this (sambil menunjukkan kertas tisu di tangan) but this is small size. i want the "big" one and in box (sambil menggayakan kotak)"....Jurujual tersebut bercakap dengan kawannya dan dia menyebut " madam....follow me...we have that one"....Lalu, dia menunjukkan sesuatu kepada kawan kami (dia terlihat seekor patung babi yang besar berwarna putih dan gebu)...dan dia melihat ke sisi rak...sama...deretan patung babi pelbagai warna.  Terdetik di dalam hati kawan kami.....aiyoooo.....depa dah bagi aku babi la!!!!....apa nak buat.  Nak ketawa pun tak boleh sebab seorang diri.  Mungkin perkataan 'big' itu difahaminya 'pig'.


Lalu, kawan kami menuju ke arah kami yang sedang menunggu makanan di satu-satunya makanan halal milik warga India.  Di kiri kanannya gerai menjual makanan yang kesemuanya berasaskan babi.  Pengalaman kawan kami tadi diceritakan kepada ahli kumpulan dan masing-masing ketawa sampai mengalir air mata....Padan muka!!!!!  Kemudian, kami makan untuk mengisi perut dan meneruskan perjalanan balik ke hotel kerana tepat jam 1200 tengah hari, kami akan bergerak ke lapangan terbang untuk kembali ke tanah air.


Tepat jam 0330 petang, kami mendaftar masuk bagasi dan jam 0430 petang penerbangan kembali ke Kuala Lumpur bermula.  Cuaca mendung dan gumpalan awan tebal, memaksa pesawat terbang tinggi sehingga membinggitkan telinga kami dan perjalanannya agak lewat.  Akhirnya....sampai juga kami di bumi Malaysia dalam keadaan selamat menggalas seribu kenangan yang tak mungkin padam dari memori ingatan.  Tiada istilah serik tetapi, bila ada kesempatan kami akan berkunjung lagi ke bumi bintang 5.....Saigon.


TAMAT (kết thúc)

0 comments:

Post a Comment

Back to Top